Friday 1 April 2011

PENDAHULUAN

Kurikulum Kajian Tempatan yang terangkum dalam bidang
kemanusiaan dan kemasyarakatan bertujuan membentuk rakyat
Malaysia yang bersatu padu, hidup dalam masyarakat yang
mempunyai nilai moral dan etika yang utuh, mengamalkan
demokrasi, penyayang, progresif,sejahtera serta bersemangat
patriotik.
Selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
kurikulum Kajian Tempatan ini dapat melahirkan insan yang berilmu
dan beramal, harmonis serta berketrampilan. Mata pelajaran ini juga
bersesuaian dengan struktur Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
( KBSR ).
Kajian Tempatan merupakan mata pelajaran yang membicarakan
dan mengkaji tentang interaksi manusia dengan manusia dan
manusia dengan alam persekitarannya melalui aktiviti kemahiran
belajar, kemahiran berfikir dan kemahiran sosial.
Mata pelajaran ini diajar secara formal di Tahap II bagi mengukuhkan
lagi pengetahuan, pemahaman, kemahiran, kesedaran dan nilai
yang telah disepadukan secara terancang dalam mata pelajaran
lain di Tahap I terutama mata pelajaran bahasa.
Pembelajaran mata pelajaran Kajian Tempatan dirancangkan untuk
memberi pengalaman yang menyeronokkan, bermakna dan
mencabar melalui penggunaan pelbagai kaedah seperti kaedah
inkuiri penemuan, pembelajaran koperatif dan kolaboratif bagi
menanam dan memupuk semangat kekitaan, jati diri dan berdaya
tahan di kalangan murid. Penggunaan pelbagai sumber terutamanya
penggunaan teknologi maklumat digalakkan bagi melatih murid
menguasai kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi .
Melalui mata pelajaran ini juga, sejak di peringkat sekolah rendah
lagi, murid diberi pendedahan pengalaman pembelajaran untuk
menangani cabaran akibat arus globalisasi, ledakan ilmu dan
maklumat serta mempunyai wawasan merancang masa depan,
mempunyai ketahanan diri yang kental dan bersemangat patriotik
bagi memenuhi matlamat dan aspirasi negara.
Mata pelajaran ini menjadi pendukung utama bagi memupuk
semangat patriotik di kalangan murid agar berbangga menjadi rakyat
Malaysia yang cinta akan tanah air dan sanggup berkorban demi
mempertahankan bangsa dan negara serta sentiasa mensyukuri
nikmat Tuhan.